SEORANG lelaki tempatan hanya mampu berputih mata selepas kehilangan RM90,000 dipercayai ditipu seorang ejen jualan kereta pada 12 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata lelaki berusia 36 tahun itu berurusan dengan suspek berkaitan jual beli kenderaan jenama Honda HRV.
Beliau berkata suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang bekerja di sebuah syarikat kenderaan terkemuka di Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
“Pada 9 Januari lalu, mangsa membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran itu diserahkan kepada pihak syarikat. Pada 29 April hingga 4 Mei lalu, pengadu membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek.
“Namun begitu, pada 11 Mei, pengadu menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan mereka masih belum menerima bayaran pendahuluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata mangsa turut dimaklumkan suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka dan pihaknya mengenal pasti suspek berkenaan bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.
“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSC) di talian 997, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – Bernama, 21 Mei, 2023.
Komen