KETUA parti politik Spravedlivaya Rossiya, Sergey Mironov, pada Sabtu menawarkan diri untuk mencalonkan Vladimir Putin bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.
“Dalam ucapan kepada perwakilan kongres, kami mencadangkan untuk mencalonkan Vladimir Putin sebagai calon presiden Persekutuan Russia bagi pilihan raya akan datang pada 2024,” katanya, lapor agensi berita Anadolu.
Spravedlivaya Rossiya adalah parti politik ketiga terbesar di Russia selepas United Russia dan Parti Komunis Persekutuan Russia.
Mironov mengakui kemungkinan pilihan raya ditangguhkan kerana “aktiviti pertempuran”.
Bagaimanapun, andai menjadi kenyataan, maka presiden memerlukan “sokongan seluruh negara”, katanya.
Putin memenangi penggal kedua berturut-turut sebagai presiden pada Mac 2018.
Pada 2020, Parlimen Russia meluluskan pindaan perlembagaan yang membenarkan Putin mengambil bahagian dalam pilihan raya 2024. – Bernama, 21 Mei, 2023.
Komen