Kukuhkan jentera kerajaan perpaduan di peringkat akar umbi, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu bagi memudahkan gerak kerja khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kepimpinan akar umbi mengukuhkan hubungan antara jentera parti komponen kerajaan perpaduan di peringkat lokaliti masing-masing.

Langkah itu katanya bagi mencari keserasian antara satu sama lain untuk memudahkan gerak kerja khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ada sedikit kerisauan, diperingkat DUN wujudkanlah sementara bulan syawal yang habis semalam, buatlah sempena Syawal selepas 30 syawal, panggil kawan-kawan daripada pelbagai parti politik, makan dan minum bersama.

“Jangan bincang soal politik supaya wujud keserasian jentera diperingkat PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan cawangan, itu akan memudahkan kerja kita,” kata Ahmad Zahid, ketika berucap di Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Kedah, pagi tadi.

Kedah adalah negeri pertama menganjurkan konvensyen tersebut selepas dimulakan oleh konvensyen nasional kerajaan perpaduan kali pertama di ibu negara minggu lalu.

Presiden Umno itu berkata, anggota komponen di dalam kerajaan perpaduan juga perlu berusaha mencari titik persamaan antara satu lain berbanding mencari perbezaan sesama sendiri.

“Untuk jentera PRU belajar dengan Umno dan Barisan Nasional, untuk sistem digital PRU belajar dengan PKR, susun media belajar dengan DAP, ceramah kata orang belajar dengan Amanah. Kombinasi berkongsi ilmu kepakaran sesama kita, ketepi perbezaan, apa sangat perbezaan ini.

“Cukuplah, kita cari titik perbezaan sekarang kita mahu cari titik persamaan,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah memberi komitmen sokongan dan dukungan Umno dan BN terhadap kerajaan perpaduan bukan bersifat sementara.

Ini kerana, kerjasama antara 19 parti dalam komponen kerajaan perpaduan adalah semangat Malaysia tulen yang merupakan realiti politik baharu tanah air.

“Orang yang belah sana kata kenapa mesti berkawan dengan DAP, musuh Umno BN, itu cerita dulu. Kalau kita orang Umno boleh terima orang MCA yang mewakili orang Cina, Umno boleh terima MIC mewakili orang India dan Gerakan yang mewakili orang Cina dan pelbagai kaum, kini hakikatnya DAP bukan hanya mewakili orang Cina.

“Ada ahli Parlimen Melayu dan India mewakili DAP. Inilah realiti politik baru kita terima sahabat kita dengan semangat kemalaysiaan yang tulen,” kata Ahmad Zahid.

“Perkahwinan politik kerajaan perpaduan bukan perkahwinan politik mut’ah tapi perkahwinan kekal dalam politik, InsyaAllah Anwar dan saya akan bersama dengan kepimpinan akar umbi untuk terus kekalkan penyatuan dalam kerajaan perpaduan,” tambah Zahid lagi.

Beliau juga yakin gabungan kerajaan perpaduan mampu menawan Kedah dalam PRN akan datang.

“Kita tahu Kedah dan Terengganu ‘swing state’, kejap dia (pembangkang) menang kejap kita, menang kejap depa menang. Kali ini Insha Allah kita menang balik.

“Ini masa terbaik, inilah peluang terbaik dan peluang ini tidak akan datang lagi. ‘Strike’ mencari kemenangan apabila ‘wave’ atau gelombang memihak kepada kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengharapkan kepimpinan negeri berusaha mencari jalan elak berlakunya perebutan dalam rundingan agihan kerusi.

“Atas sebab itu saya yakin gabungan parti kita cukuplah berbeza pendapat berebut kerusi calon, pastikan siapa sahaja yang akan diletakkan sebagai calon mewakili parti ketepikan perbezaan kita, kerjasama sebagai satu pasukan menghadapi PRN.

“Lepas itu serahkan kepada tuanku sultan,” katanya, merujuk kepada pelantikan menteri besar di negeri berkenaan. – 21 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen