SEBUAH gitar yang dipecahkan di atas pentas oleh penyanyi utama Kurt Cobain dari kumpulan Nirvana terjual hampir AS$600,000, kata rumah lelong semalam.
Gitar jenis Fender Stratocaster berwarna hitam itu sudah dipasang semula tetapi tidak boleh dimainkan lagi, kata jurucakap rumah lelong Kody Frederick.
Gitar itu ditandatangani oleh ketiga-tiga ahli kumpulan grunge berasal dari Seattle itu ketika populariti mereka berada di puncak kegemilangan.
Rumah lelong itu berkata ia menjangka alat muzik itu akan terjual pada harga AS$60,000 pada satu acara lelongan secara langsung di Kafe Hard Rock di New York.
Sebaliknya, ia dijual pada AS$595,000, kata Julien dalam satu kenyataan.
“Kurt Cobain, apabila dia berada di pentas, bermain alat muzik, dia adalah mesin. Dia marah, dan anda dapat rasakannya di pentas itu. Dan anda akan dapat rasakannya menerusi cara dia bermain alat muziknya.
“Elemen ini, dalam satu cara yang aneh, terhasil daripada ahli muzik yang rosak dalamannya, membuktikan era muzik yang ganas dan kejatuhannya.”
Antara lagu hits Nirvana hasil nukilan Cobaik termasuk “Come As You Are,” “Lithium” dan “Smells Like Teen Spirit” – lagu yang menjadi kegemaran generasi remaja terasing pada zaman 1990-an.
Cobain bergelut dengan masalah kemurungan dan ketagihan dadah, selain berdepan masalah rumah tangga dengan isterinya Courtney Love.
Dia membunuh diri pada April 1994. – AFP, 21 Mei, 2023.
Komen