17 terbunuh, bas terbabas di Thailand


Jalan-jalan raya di Thailand didapati paling bahaya di dunia, mengorbankan kira-kira 24,000 setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia. – Gambar fail AFP, 22 Mac, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 17 maut dan berpuluh lagi cedera selepas sebuah bas dalam perjalanan di utara Thailand terbabas dan melanggar pokok, kata pihak berkuasa.

Kemalangan petang semalam di wilayah Nakhon Ratchasima itu membabitkan bas dua tingkat membawa 50 penumpang yang pulang ke kampung untuk bercuti.

“Jumlah kematian pada masa ini 17 dan 33 cedera,” kata pegawai dari perkhidmatan kecemasan wilayah itu.

Gambar selepas kejadian yang disiarkan di media tempatan menunjukkan sebahagian bas itu terbalik dan pegawai kecemasan berdiri berdekatan deretan beg mayat.

Kira-kira 10 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital berhampiran.

Pihak berkuasa berkata pemandu bas hilang kawalan ketika kenderaan itu turun bukit sebelum terbabas keluar dari jalan raya dan melanggar sebatang pokok besar.

“Bas itu terputus dua,” kata pihak berkuasa.

Leftenan Kolonel Pornpattana Pisitkarn dari balai polis Udomsap di mana kemalangan berlaku berkata brek bas itu didapati gagal berfungsi.

Jalan-jalan raya di Thailand didapati paling bahaya di dunia, mengorbankan kira-kira 24,000 setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen