KERAJAAN perpaduan akan terus mendapat sokongan pengundi di Negeri Sembilan meskipun Perikatan Nasional (PN) mendakwa akan berlaku ‘tsunami’ orang Melayu di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata dalam sistem demokrasi di negara ini, semua pihak boleh mengeluarkan pandangan namun pilihan raya umum lalu memperlihatkan keputusan sebaliknya apabila berlaku penyatuan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas itu.
“Kami amat yakin rakyat perlukan kestabilan dan Negeri Sembilan ini keutamaannya adalah daripada segi pembangunan ekonomi dan rakyat juga perlukan pekerjaan. Rakyat Negeri Sembilan akan lebih bijaksana untuk memilih kerajaan yang dapat membantu mereka.
“Kami tak perlu layan propaganda begitu, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan di manakah pilihan terbaik setakat ini dengan keberadaan kita seramai 148 ahli Parlimen, ia menunjukkan majoriti dua pertiga.
“Mereka (pembangkang) terpaksa menukar taktik bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga ke Pulau Pinang dan Selangor, pemimpin mereka di Selangor juga bercakap (perkara sama), biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan di Tampin hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan berkata yakin mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 70% undi, terutama undi Melayu berikutan PN berada di depan dari segi populariti dan kepemimpinan.
Sementara itu beliau yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan menggunakan formula dengan menampilkan lebih ramai muka baharu dan calon muda dalam PRN nanti bagi meremajakan parti selain memberi peluang kepada calon muda.
“Ia sudah terbukti di PRN Melaka, saya meletakkan 82% muka baharu yang 67% adalah orang muda, begitu juga di Johor, ia berada di tahap 74% dan Johor diketuai oleh orang muda, trend ini menjadi harapan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Melaka daripada parti itu akan menyertai PAS, Zahid berkata beliau akan bertemu Adun berkenaan dalam masa terdekat. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen