Ayer Hitam: Mengapa DAP masuk ke kandang harimau?


Wan Hamidi Hamid

KAWASAN Parlimen Ayer Hitam di Johor merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Sejak kerusi itu diwujudkan pada 1974, ia kekal menjadi milik BN sehingga hari ini. Dengan kata lain, teramat sukar untuk pembangkang menang di kawasan itu.

Daripada kira-kira 46,000 pengundi di kawasan itu, orang Melayu mewakili kira-kira 57% pengundi diikuti kaum Cina 38%, India 4% dan lain-lain 1%.

Untuk pilihan raya umum 2018, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, yang juga ahli Parlimen Kluang telah diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan.

Mengapa DAP mahu melangkah masuk ke kandang harimau? Adakah ia mencari nahas? Atau ia merupakan satu strategi bijak?

Siapa Liew Chin Tong?

Chin Tong, 41, merupakan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP merangkap pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan.

Beliau memegang Ijazah Sarjana bagi Integrasi Serantau daripada Asia-Europe Institute, Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia daripada Australian National University.

Tesisnya di Australia pada 2004 merupakan kajian tentang PAS yang bertajuk “Articulating an Islamic state in multiethnic Malaysia: The case of PAS”.

Kejayaan pertama beliau dalam pilihan raya adalah menumbangkan tokoh BN Chia Kwang Chye bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera di Pulau Pinang dalam PRU 2008. Kerusi Parlimen itu, seperti Ayer Hitam, juga diwujudkan pada 1974.

Pada ketika itu Chia merupakan setiausaha agung Gerakan merangkap timbalan menteri penerangan. Dia juga merupakan salah seorang calon ketua menteri Pulau Pinang jika BN kekal berkuasa di Pulau Pinang.

Kemenangan Chin Tong – pada masa itu beliau berusia 31 tahun – telah mengharumkan namanya sebagai giant killer yang berjaya menumpaskan penyandang veteran tiga penggal BN.

Jiwa muhibah

Bersama pasukan dan sukarelawannya, Chin Tong telah membantu menjayakan usaha dan program mendekatkan DAP dengan semua masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu.

Kesungguhannya dapat dirasai ramai kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti komponen pembangkang serta badan pemikir dan NGO. Malah, melalui pelbagai program dialog dan ceramah, semakin ramai anak muda Melayu mengenali beliau.

Walaupun dibesarkan di dalam sebuah keluarga kelas pekerja kaum Cina di pinggir ibu kota Kuala Lumpur dan bersekolah aliran Bahasa Cina, ia tidak menghalang cita-citanya untuk membawa rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bersatu di atas semangat muhibah.

Impiannya adalah untuk melihat jurang kekayaan serta pendapatan rakyat Malaysia dirapatkan.

Dalam perbualan saya dengan beliau baru-baru ini, Chin Tong menyatakan hasratnya agar rakyat, terutamanya orang Melayu di kalangan berpendapatan sederhana dan rendah, mempunyai kuasa beli yang kukuh serta tidak mengalami tekanan ekonomi yang teruk seperti sekarang.

“Sudah tentu kita tidak mahu lihat segelintir orang kaya-raya tetapi majoriti rakyat hidup menderita, terpaksa buat dua atau tiga kerja sehari.

“Apabila kerajaan Pakatan Harapan dibentuk, kita mahu ia memberi keutamaan kepada golongan marhaen, yang kebanyakan merupakan orang Melayu, dan bukannya menjaga kepentingan segelintir kroni,” katanya.

Ia bukan cakap kosong. Selama lima tahun sebagai ahli Parlimen Bukit Bendera, beliau banyak memberi sumbangan idea dan dasar, khususnya dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Pulau Pinang.

Beliau juga memaju serta menjenamakan semula institusi penyelidikan negeri, iaitu Socio-economic and Environmental Research Institute (Seri) sebagai Institut Pulau Pinang yang kini terkenal dengan pelbagai program ekonomi, sosial dan budaya nasional.

Setelah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya di Pulau Pinang, beliau memberanikan diri untuk bertanding di Johor pada PRU 2013.

Kerusi yang diamanahkan oleh DAP kepadanya adalah Kluang. Kerusi Parlimen itu merupakan kubu kuat BN sejak diwujudkan pada 1974 – hanya sepenggal sahaja ia menjadi milik DAP, iaitu pada 1978-1982.

Percaturannya berjaya apabila beliau menewaskan penyandang Dr Hou Kok Chung yang ketika itu memegang jawatan timbalan menteri pendidikan tinggi.

Positif, yakin dan bersemangat

Kali ini beliau kekal bertanding di Johor. Tetapi setelah selesa di Kluang, mengapa mahu masuk ke kandang harimau?

Chin Tong yakin bahawa angin perubahan, khususnya di kalangan pengundi Melayu, akan melanda Johor, malah seluruh negara.

Baginya, populariti Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin sebagai pimpinan utama PH, dan kemarahan rakyat terhadap kleptokrasi dan salah guna kuasa pentadbiran Najib Razak akan mengalih undi Melayu kepada pembangkang.

Jika beliau sekadar kekal di kawasan yang dianggap selamat, ia bererti hanya mahu bertahan serta enggan berhadapan dengan cabaran. Hanya dengan keluar dari zon selesa, beliau yakin pengundi dapat melihat kesungguhan PH dalam PRU kali ini.

Kadangkala, optimisme beliau agak mengerikan saya. Namun, itulah dia yang saya kenali – sentiasa positif, yakin dan bersemangat dengan matlamatnya.

Di kandang harimau BN di Ayer Hitam, beliau mahu mengaum untuk memastikan mesej harapan yang dibawanya sampai kepada pengundi Johor.

Baginya, penyandang tiga penggal BN, Wee Ka Siong yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri gagal membela rakyat yang kini teruk dilanda tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

Dengan prihatinnya beliau kepada rakyat marhaen serta solidaritinya bersama orang Melayu sebagai warga majoriti, Chin Tong sedia menerima cabaran yang paling sukar ini.

Sewaktu saya menjadi wartawan semasa PRU 2008, ketika awal kempen di Pulau Pinang bila mana suara propaganda BN berkumandang gah dalam media arus perdana, saya pernah memerli beliau dengan berkata, “Kalau kalah pun, saudara tak perlu bersedih. Anggaplah ia sebagai glorious defeat.”

Beliau hanya ketawa, dan kemudiannya terbukti saya yang silap. Tsunami politik telah meletus. BN kalah, dan beliau menang besar.

Rasanya saya tidak akan memerlinya sebegitu lagi. Yang saya harapkan adalah agar pengundi membuat pilihan tanpa rasa takut, tanpa sangsi kaum, tanpa syak wasangka agama; sebaliknya berani berubah demi kehidupan yang lebih baik, bermakna dan bermaruah.

Siapa tahu, angka “1974” memberi makna besar untuk Chin Tong. Mungkin nasibnya sentiasa baik apabila bertanding di mana-mana kerusi yang diwujudkan pada tahun 1974. – 23 Mac, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apabila chin tong mengaum maka tetiba wee ka tong mengiau giau

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan