Tiada masalah undi calon bukan parti sendiri, kata Salahuddin


Salahuddin Ayub berkata berdasarkan pengalaman, kebiasaannya ahli parti akan patuh dan undi calon yang dipersetujui oleh pemimpin mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2023.

TIMBALAN Presiden Amanah Salahuddin Ayub berpendapat ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi, tiada masalah untuk mengundi calon bukan daripada parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tahun ini.

Ini kerana beliau percaya ahli parti PH dan BN akan patuh serta memberikan sokongan dan undi kepada calon yang ditetapkan.

“Kita harap undi daripada PH akan dapat diterjemah dalam bentuk sokongan daripada BN dan begitu juga sebaliknya, transformasi ini penting, jadi saya harap dengan kesepakatan itu calon yang ditampilkan dapat sokongan sama ada PH atau BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri bersama ahli Parlimen Pulai di Johor Bahru hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan semalam yang dilaporkan berkata pengundi Umno perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon itu daripada parti mana termasuk DAP.

Salahuddin berkata berdasarkan pengalamannya, berada dalam gabungan parti politik, kebiasaannya ahli parti akan patuh dan undi calon yang dipersetujui oleh pemimpin mereka. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen