Perang bukan pilihan, kata presiden Taiwan


Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berkata perang bukan pilihan ketika wilayah itu terus berdepan ancaman sivil dan ketenteraan China. – Gambar EPA, 20 Mei, 2023.

PRESIDEN Taiwan Tsai Ing-wen hari ini berikrar untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan ketika China terus memperhebat tekanan ketenteraan, berkata yang “perang bukan pilihan”.

Sepanjang dua penggal Tsai menjadi presiden, kepulauan dengan pentadbiran sendiri itu berdepan pertambahan ancaman dan pencerobohan China di udara dan laut yang menganggap Taiwan adalah wilayahnya yang akan diambil pada satu hari nanti, walaupun terpaksa menggunakan kekerasan sekiranya perlu.

Tsai yang menolak tuntutan China itu, berkata sepanjang pentadbirannya, penduduk wilayah itu sudah membuktikan kepada dunia “keyakinan Taiwan untuk mempertahankan dirinya sendiri”.

“Dalam berdepan serangan sivil dan ancaman tentera China, rakyat Taiwan masih tenang dan tidak agresif, rasional dan tidak provokatif,” katanya hari ini yang merupakan hari terakhir selepas tujuh tahun berkuasa.

“Perang bukan pilihan dan tidak ada mana-mana pihak tanpa persetujuan boleh mengubah status quo dengan cara tidak aman.”

Ucapan itu disiarkan ketika Taiwan sedang bersedia mengadakan pilihan raya presiden yang akan diadakan pada Januari 2024.

Disebabkan wujud tempoh pentadbiran presiden di Taiwan, Tsai yang berusia 66 tahun tidak akan bertanding.

Naib Presiden William Lai dipilih sebagai calon presiden untuk parti pemerintah, Parti Demokratik Progresif.

Beliau jauh lebih lantang dalam isu kemerdekaan Taiwan berbanding Tsai, pada Januari lepas berkata beliau sudah menganggap Taiwan sebagai “negara berdaulat”.

Beliau akan berdepan cabaran Datuk Bandar New Taipei, Hou Yu-ih yang turut berpengaruh besar.

Hou, 65, bekas ketua polis mengumumkan akan bertanding sebagai calon presiden untuk parti pembangkang utama, Kuomintang, yang secara tradisinya lebih cenderung berhubungan rapat dengan China.

Beijing berkata sebarang cubaan mengisytiharkan kemerdekaan Taiwan secara rasmi akan mencetuskan tindakan ketenteraan. – AFP, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen