KPM tidak kompromi kes buli di sekolah, kata timbalan menteri


Lim Hui Ying berkata kementerian akan memohon polis supaya lebih kerap memantau dan melakukan rondaan di sekolah yang mempunyai rekod kes buli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli dan akan meminta bantuan polis bagi menjalankan siasatan di sekolah yang didapati berlaku terdapat kegiatan gangsterisme.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM dan sekolah berperanan untuk memastikan setiap sekolah tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu.

“Sebenarnya kes buli di dalam sekolah memang ada, sama ada serius atau tidak. Bagi pihak kementerian, sekiranya budaya gangsterisme ini semakin serius dan sukar dibendung, kemungkinan kita akan meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk masuk ke sekolah, kerana KPM tidak mahu sebarang anasir luar yang tidak sepatutnya masuk ke sekolah.

“Selain itu, kementerian juga akan memohon pegawai perhubungan polis supaya lebih kerap memantau dan melakukan rondaan di sekolah yang mempunyai rekod kes buli supaya isu ini dapat dibendung,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Tanjong ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri ahli Parlimen Tanjong yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Hui Ying berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular kes pukul membabitkan sekumpulan pelajar memukul seorang lagi pelajar, dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth yang tular di media sosial sejak semalam.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata kementerian pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes buli yang tular di media sosial itu dan dalam masa sama KPM juga meminta pihak sekolah untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata KPM tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selepas siasatan selesai.

“Sekolah akan menyiasat mereka yang terbabit dan beri bimbingan kepada mangsa, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan displin, pihak sekolah juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya.

Hui Ying berkata bukan hanya pihak sekolah sahaja yang perlu pastikan sekolah selamat, polis juga diminta untuk membantu bagi memastikan sekolah dan kawasannya selamat.

“Saya juga memohon ibu bapa mengambil tahu aktiviti anak mereka di luar sekolah. Dalam hal ini, semua pihak ada tanggungjawab masing-masing termasuk ibu bapa. KPM juga berharap sebarang anasir tidak elok, jangan dibawa masuk ke sekolah,” katanya. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen