PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri India Narendra Modi pada Sabtu bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pertahanan dan teknologi canggih, lapor Yonhap memetik pejabat presiden.
Yoon dan Modi bertemu di luar sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Hiroshima. Kedua-dua negara itu dijemput sebagai tetamu.
Pertemuan itu berlangsung sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Korea Selatan dan India tahun ini.
Yoon dan Modi yang mengadakan perbincangan bersemuka buat kali pertama, bersetuju untuk membangunkan perkongsian strategik khas antara kedua-dua negara secara substantif, menurut seorang jurucakap.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama bukan sahaja dalam bidang senjata, termasuk kereta perisai howitzer K-9, malah dalam teknologi canggih seperti industri digital, biokesihatan dan angkasa lepas.
“Secara khususnya, mereka bersetuju untuk menaik taraf perjanjian perkongsian ekonomi komprehensif yang berkuat kuasa antara Korea Selatan dan India pada 2010 serta meluaskan lagi perdagangan dua hala dan mencari bidang kerjasama baharu sebagai persediaan untuk 50 tahun akan datang,” kata jurucakap itu.
Yoon juga meminta Modi memastikan tarif yang munasabah untuk perniagaan Korea Selatan yang beroperasi di India.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu berkaitan Semenanjung Korea, Indo-Pasifik, perubahan iklim selain berkongsi pandangan dalam membangunkan rangka kerja yang kukuh untuk kerjasama atas dasar perpaduan demokratik.
Yoon dan Modi bersetuju untuk bertemu dan meneruskan perbincangan pada sidang kemuncak Kumpulan 20 di India pada September. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen