Istana Budaya atasi masalah hutang tertunggak


Istana Budaya berjaya menyelesaikan masalah hutang tertunggak sejak 2010 dengan pelaksanaan SOP baharu sewaan. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2023.

LANGKAH Istana Budaya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung proses dan tatacara penyewaan penuh pentas utamanya Panggung Sari bermula tahun lalu, berjaya mengatasi masalah hutang tertunggak yang dihadapi agensi itu sejak 2010.

Ketua pengarahnya Zubaidah Mukhtar berkata, antara SOP yang ditetapkan adalah setiap syarikat produksi perlu membuat pembayaran penuh sebelum membuat persembahan atau pementasan, selain perlu menanggung pembayaran elaun lebih masa petugas Istana Budaya yang bekerja untuk syarikat produksi.

“Bagi mengelakkan hutang bertambah, kami (Istana Budaya) perlu bertegas dengan semua pihak. Kami tidak mahu kejadian sama berulang lagi di kemudian hari.

“Alhamdulillah, sejak kami melaksanakan peraturan itu, tidak ada lagi isu ABT (akaun belum terima) dari segi sewaan premis pada tahun lalu,” katanya.

Zubaidah berkata Istana Budaya, pada masa yang sama masih mengekalkan harga RM15,000 bagi setiap persembahan sejak hampir 25 tahun lalu, selain syarikat produksi dikehendaki membayar deposit RM10,500 sebelum memulakan persembahan.

Sementara itu, sebelum Istana Budaya ditutup sepenuhnya selama dua tahun bermula tahun depan, Zubaidah mengalu-alukan jika ada mana-mana syarikat produksi atau agensi yang berminat untuk mengadakan persembahan atau pementasan di Panggung Sari, sebelum hujung tahun ini.

“Kami masih ada beberapa slot persembahan atau pementasan sebelum berakhirnya tahun ini dan mereka yang berminat, boleh menghantar permohonan selewat-lewatnya September depan,” katanya.

Zubaidah berkata Istana Budaya akan ditutup sepenuhnya selama dua tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 1 Januari 2026, bagi membolehkan kerja menyelenggara dan membaik pulih bahagian luar bangunan ikonik itu, terutamanya penggantian bumbung yang membabitkan peruntukan hampir RM30 juta.

Beliau berkata ia merupakan proses pembaikan dan penyelenggaraan yang kali pertama dilakukan secara besar-besaran, selepas hampir 25 tahun ia beroperasi.

Beliau turut berharap tiada lagi penangguhan akan berlaku dan segala kerja membaik pulih akan siap mengikut tempoh yang ditetapkan. – Bernama, 20 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen