Kerajaan bentang kajian persempadanan semula Rabu depan


Amin Iskandar Muzliza Mustafa

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata dokumen laporan persempadanan semula sudah diletakkan di atas meja ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini sebelum dibentangkan pada Rabu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

KERAJAAN akan membentangkan laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya 2018 pada 28 Mac ini, kata Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

Beliau memaklumkan Dewan Rakyat laporan berkenaan sudah diedarkan kepada semua ahli Parlimen hari ini tetapi tidak boleh disiarkan sehingga dibentangkan kerajaan minggu depan.

Dokumen yang diletakkan di atas meja ahli Parlimen ialah syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri bagi 2018 (ST27 tahun 2018) dan draf persempadanan bahagian pilihan raya (ST28 tahun 2018), katanya.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kesemua dokumen tersebut tidak boleh disiarkan. Embargo sehingga ia dibentangkan pada hari Rabu 28 Mac 2018,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pengumuman Pandikar menyebabkan ahli-ahli Parlimen pembangkang berang dan bangkit mempersoalkan Pandikar.

“Pagi tadi saya cuba membaca untuk tatapan sendiri tetapi dimaklumkan oleh bentara tidak boleh dibuka juga oleh ahli Parlimen.

“Sehinggalah embargo tu selesai hari Rabu. Saya nak minta penjelasan kalau tak boleh buka saya rasa hak saya sebagai ahli Parlimen tidak dipenuhi,” soal Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berkata beliau hairan mengapa dokumen tersebut tidak boleh dibawa keluar oleh ahli Parlimen untuk kegunaan sendiri.

“Saya pohon satu penjelasan mengenai perkara ini,” katanya.

Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) menggesa Dewan Rakyat menarik semula dokumen tersebut sekiranya ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk membaca atau memberikan komen mengenainya.

Menjelaskan perkara itu, Pandikar berkata sekiranya beliau membenarkan dokumen tersebut dibawa keluar tiada jaminan dokumen tersebut tidak disiarkan media.

“Saya tidak boleh tahu siapa yang bertanggungjawab.

“Saya percaya kepada ahli-ahli Yang Berhormat, tetapi kalau saya benarkan untuk bawa keluar dan nanti tersiar tidak ada seorang pun ahli Yang Berhormat akan mengaku,” katanya.

Pandikar berkata isu persempadanan semula ini sudah diketahui orang ramai dan perkara tersebut sudah dilaporkan media dan terdapat kes mahkamah.

“Jadi waktu berbahas nanti saya tahu ahli-ahli Yang Berhormat selama sepuluh tahun duduk sini semuanya brilliant.

“Jadi saya tidak benarkan ahli Yang Berhormat untuk bawa keluar,” katanya.

Seramai 107 orang, yang mewakili lebih daripada 10,000 pengundi di Selangor, memfailkan permohonan untuk menghentikan pembentangan laporan semakan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen baru-baru ini.

Bersih 2.0 mengumumkan pemfailan, yang dilakukan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Mac.

“Kami memfailkan kes itu untuk memohon perintah penangguhan atas sebarang pembentangan, perbincangan, perdebatan atau pengundian di Parlimen mengenai laporan akhir persempadanan semula,” kata pemangku pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar.

Shahrul berkata 107 pemohon mewakili lebih 10,000 pengundi dari 17 kerusi negeri dan 11 kerusi Parlimen. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen