Umno ada pendekatan tertentu santuni pengundi parti, kata Zahid


Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno mempunyai pendekatan tertentu dalam menyantuni pengundinya untuk menyokong parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2023.

UMNO mempunyai pendekatan tertentu dalam menyantuni pengundinya untuk menyokong parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara sama pernah dilakukan Umno di dalam Barisan Nasional (BN) dan kali ini ia dilakukan atas dasar kebersamaan parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Dahulu pengundi-pengundi Umno ertinya pengundi BN turut menyokong calon-calon daripada MCA, MIC, serta parti-parti (komponen) lain yang ada dalam BN.

“Kaedah yang sama digunakan bukan kerana nama parti tetapi atas rasa kebersamaan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Pengerusi BN itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu di Machang hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Felcra Berhad Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengenai senarai calon bagi enam PRN itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata parti itu mempunyai senarai pendek calon selepas perbincangan diadakan bersama Pengerusi Perhubungan BN di enam negeri terbabit.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen