Kanak-kanak, remaja ditemukan lemas di sungai Johor


SEORANG kanak-kanak dan seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Masai berhampiran Pangsapuri Sri Intan, Bandar Seri Alam di Pasir Gudang, Johor malam tadi.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Danish Ahmad, 11, dan Zahir Ajmal Mohd Idris, 13.

Beliau berkata pasukan keluaran operasi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ serta selaman oleh pasukan penyelamat di air (PPDA).

“Mohd Danish berjaya dijumpai kira-kira jam 5.06 pagi, manakala Zahir Ajmal dijumpai pada jam 7.38 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas, dan kedalaman air dianggarkan kira-kira 3m.

“Jenazah mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.33 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.31 malam tadi sebelum 13 anggota dari BBP Pasir Gudang dan enam anggota PPDA dari BBP Skudai digegaskan ke lokasi kejadian. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen