BANK pusat India pada Jumaat memutuskan untuk mengeluarkan wang kertas 2,000 rupee daripada edaran.
Wang kertas 2,000 rupee (bernilai kira-kira AS$24) diperkenalkan pada November 2016 apabila kerajaan memansuhkan wang kertas 500 dan 1,000 rupee.
“Objektif memperkenalkan wang kertas 2,000 rupee tercapai… Oleh itu, cetakan wang kertas baharu 2,000 rupee dihentikan pada 2018-19 (tahun fiskal). Wang kertas itu juga sudah jarang digunakan dalam urus niaga… stok wang kertas lain terus mencukupi untuk memenuhi keperluan orang ramai,” menurut kenyataan Reserve Bank of India (RBI).
Wang kertas yang ada di pasaran kekal sah digunakan sehingga 30 September dan boleh ditukar dengan mata wang lain.
Kira-kira 89% daripada wang kertas itu dikeluarkan sebelum Mac 2017 dan berada di penghujung jangka hayat antara 4 hingga 5 tahun.
Jumlah nilai wang kertas 2,000 rupee dalam edaran adalah 3.62 trilion rupee (kira-kira AS$43.7 bilion), merangkumi 10.8% daripada wang kertas dalam edaran pada akhir Mac tahun ini.
Keputusan secara tiba-tiba lebih enam tahun lalu itu pernah mencetuskan huru-hara di bank di seluruh India apabila orang ramai mahu membuat penukaran.
Menurut kerajaan langkah itu bertujuan membendung rasuah dan mengumpul kekayaan secara haram.
Bekas timbalan gabenor RBI, R Gandhi berkata, menarik balik wang kertas 2,000 rupee daripada edaran dapat membantu mengekang orang ramai menyorok mata wang bernilai tinggi itu. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen