MALAYSIA berharap dapat terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu membabitkan peralihan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan pelepasan gas metana, pembiayaan iklim dan teknologi.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon daripada perutusan khas presiden AS mengenai iklim, John Kerry, semalam.
Menerusi catatan di Facebook rasmi hari ini, Anwar memaklumkan dalam perbualan berkenaan pelbagai isu berkaitan alam sekitar, tenaga boleh diperbaharui dan perubahan iklim yang kian meruncing dan memberi kesan yang dahsyat di seluruh dunia turut dibincangkan.
“Saya berkongsi aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan GHG (gas rumah hijau) bersih sifar seawal tahun 2050.
“Saya juga menekankan AS sebagai salah satu negara maju wajar menjadi peneraju dalam mengekang perubahan iklim dan kesannya ke atas alam sekitar dan kesihatan manusia.
“Ia boleh dilakukan dengan menyediakan bantuan kewangan, kapasiti dan sokongan teknologi yang mencukupi untuk membantu negara membangun melaksanakan agenda dan tindakan iklim masing-masing,” katanya. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen