PERDANA Menteri Britain Rishi Sunak semalam berkata sekatan terbaharu yang dikenakan terhadap Rusia adalah untuk memastikan Moscow menanggung akibatnya terhadap operasi ketenteraannya ke atas Ukraine.
“Kami percaya kepada demokrasi, kebebasan, kedaulatan undang-undang dan wajar kami mempertahankan perkara itu. Ia akan menjadi sekatan yang lebih berkesan…,” kata Sunak, lapor Agensi Anadolu.
United Kingdom (UK) mengumumkan gelombang baharu sekatan yang menyasarkan perniagaan dan individu yang dikaitkan dengan Rusia untuk membiayai perang.
Sebanyak 86 individu dan organisasi didapati mempunyai kaitan dengan sektor tenaga, logam, pertahanan, pengangkutan dan kewangan Moscow.
Antara langkah yang diambil oleh UK ialah pengharaman import berlian Rusia, sektor yang menyumbang kira-kira AS$4 bilion (£3.2 bilion) kepada hasil eksport negara itu pada 2021.
Selain itu undang-undang akan diperkenalkan pada akhir tahun ini untuk menyekat import tembaga, aluminium dan nikel Rusia.
UK bersama-sama dengan rakan kongsi G7 menggubal satu set sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang menyasarkan keupayaan ketenteraan Rusia.
Menurut kerajaan Britain setakat ini lebih 1,500 individu dan entiti dikenakan sekatan melibatkan pembekuan aset melebihi £18 bilion di UK.
Selain itu lebih £20 bilion barangan yang didagangkan antara UK dan Rusia turut dikenakan sekatan. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen