Keputusan rasmi pilihan raya Presiden Turkiye disiarkan dalam warta rasmi


Penyandang presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan kini mendahului dalam pemilihan presiden selepas memperoleh lebih 27.13 juta undi. – Gambar AFP, 20 Mei, 2023.

KEPUTUSAN akhir pemilihan presiden Türkiye yang diadakan pada 14 Mei disiarkan dalam Warta Rasmi semalam.

Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada Ahad untuk memilih presiden dan ahli Parlimen.

Menurut keputusan Majlis Pilihan Raya yang diterbitkan dalam Warta Rasmi itu lebih 53.99 juta daripada lebih 60.72 juta pengundi berdaftar mengundi pada pusingan pertama pilihan raya presiden Turkiye, lapor Agensi Anadolu.

Lebih 52.97 juta kertas undi dikira manakala 1.2 juta lagi ditolak dan kadar keluar mengundi ialah 88.92 peratus.

Peratusan keluar mengundi di luar negara pula sebanyak 49.4 peratus menyaksikan lebih 1.69 juta orang mengundi. 

Selain itu kira-kira 148,183 orang mengundi di pintu masuk kastam.

Jumlah peratusan keluar mengundi ialah 87.04 peratus, menurut Warta Rasmi.

Penyandang presiden Recep Tayyip Erdogan kini mendahului selepas memperoleh lebih 27.13 juta undi. 

Pencabar terdekatnya Kemal Kilicdaroglu yang juga ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP), di tempat kedua dengan mendapat 24.59 juta undi.

Sinan Ogan dari Perikatan ATA (Ancestral) sekadar memperoleh 5.17 peratus undi manakala Muharrem Ince yang menarik diri selepas kertas undi dicetak mendapat 0.43 peratus.

Memandangkan tiada calon memperoleh majoriti, pilihan raya penentu akan diadakan pada 28 Mei antara Erdogan dan Kilicdaroglu. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen