Hyundai, Kia selesai saman 'cabaran' curi kereta di TikTok


Kecurian kereta Kia dan Hyundai di AS meningkat pada pertengahan tahun lalu selepas video tersebar di TikTok menunjukkan cara mencuri beberapa model dengan mudah. – Gambar AFP, 20 Mei, 2023.

HYUNDAI dan Kia pada Jumaat mengumumkan perjanjian untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh mangsa kecurian kereta selepas “cabaran” TikTok menunjukkan betapa mudahnya mencuri beberapa model.

Penyelesaian itu bakal menyaksikan pembuat kereta Korea Selatan kerugian sebanyak AS$200 juta, kebanyakan wang itu akan membayar pampasan kepada pengguna yang kerugian berkaitan kecurian, menurut syarikat itu.

Terpulang kepada hakim sama ada untuk meluluskan perjanjian itu.

“Perjanjian ini merupakan langkah terbaharu dalam siri tindakan penting yang diambil Kia untuk membantu pelanggan yang kenderaan mereka  menjadi sasaran penjenayah menggunakan kaedah curi yang dipopularkan di media sosial,” kata ketua pegawai undang-undang Kia America John Yoon dalam satu kenyataan bersama.

Kecurian kereta Kia dan Hyundai di Amerika Syarikat meningkat pada pertengahan tahun lalu selepas video tersebar di TikTok menunjukkan cara mencuri beberapa model dengan mudah, menurut syarikat itu.

Video mempromosikan “Cabaran Kia” menunjukkan bagaimana mencuri kereta sedemikian, kata Hyundai dan Kia.

Kecurian kereta yang dikaitkan dengan cabaran itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 kemalangan dan lapan kematian, menurut Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) AS.

TikTok tidak segera memberi respons bagi permintaan untuk komen.

Syarikat itu menganggarkan kira-kira 9 juta kenderaan Hyundai dan Kia di AS “terdedah kepada kecurian yang dipromosikan oleh media sosial ini.”

“Kami menghargai peluang memberikan sokongan tambahan kepada pemilik yang terjejas oleh aktiviti jenayah yang semakin meningkat dan berterusan menyasarkan kenderaan kami,” kata ketua pegawai undang-undang Hyundai Motor North America Jason Erb.

Erb menambah Hyundai akan terus menaik taraf perisian kereta, mengagihkan kunci stereng, dan membantu pemilik kereta yang menghadapi masalah mendapatkan insurans kerana risiko kecurian.

Kia mengambil tindakan yang sama, kata ketua pegawai undang-undang Kia America John Yoon.

Hyundai dan Kia mengemas kini perisian antikecurian dan menyediakan puluhan ribu kunci stereng kepada pemilik kereta di negeri AS, menurut NHTSA. – AFP, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen