RUSIA melarang kemasukan 500 rakyat Amerika termasuk bekas presiden Barack Obama sebagai tindak balas kepada sekatan yang dikenakan oleh Washington.
“Sebagai tindak balas kepada sekatan anti-Rusia yang kerap dikenakan oleh pentadbiran Biden… kemasukan ke dalam Persekutuan Rusia ditutup untuk 500 rakyat Amerika,” kata kementerian luar itu sambil menambah Obama adalah antara dalam senarai itu.
Semalam Amerika Syarikat menambah ratusan lagi syarikat dan individu ke dalam senarai hitam sekatannya ketika ia meluaskan usaha untuk menyekat ekonomi Rusia berhubung serangan Ukraine.
“Washington sepatutnya sudah lama mengetahui tiada satu pun langkah bermusuhan menentang Rusia akan dibiarkan tanpa jawapan,” kata kementerian luar.
Antara yang disenaraikan ialah hos televisyen Stephen Colbert, Jimmy Kimmel dan Seth Meyers.
Penasihat CNN Erin Burnett dan penyampai MSNBC Rachel Maddow dan Joe Scarborough turut dalam senarai.
Rusia berkata mereka menyenaraihitamkan senator, ahli kongres dan ahli kumpulan pemikir yang terlibat dalam penyebaran sikap Russophobic dan palsu serta ketua syarikat yang membekalkan senjata ke Ukraine.
Dalam kenyataan yang sama Rusia berkata mereka menafikan lawatan konsular kepada wartawan AS yang ditahan Evan Gershkovich pada Mac atas dakwaan mengintip.
Larangan itu dibuat susulan keengganan Washington untuk mengeluarkan visa kepada wartawan yang pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama Menteri Luar Sergei Lavrov pada April. – AFP, 20 Mei, 2023.
Komen