Rakyat kecewa keputusan tarik balik rayuan kalimah Allah


BARU-BARU ini, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah Allah.

Keputusan ini mencetuskan polemik dan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Saya amat kecewa dengan tindakan kerajaan Madani Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini yang boleh dikatakan melulu dan tidak mengambilkira sensitiviti umat Islam.

Anwar dilihat sebagai oportunis yang lebih mengutamakan pengundi bukan Melayu menjelang pilihan raya di enam buah negeri yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos ini.

Sebagai perdana menteri, Anwar sepatutnya memberikan keutamaan kepada kepentingan dan keharmonian seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya komuniti tertentu sahaja.

Penggunaan kalimah Allah bukanlah isu yang boleh diabaikan atau dipandang enteng.

Ia adalah satu isu yang sensitif dan mempunyai implikasi mendalam dalam kehidupan umat Islam di Malaysia.

Oleh itu, adalah penting bagi seorang pemimpin seperti Anwar untuk berpendirian tegas dalam mempertahankan hak-hak dan sensitiviti umat Islam.

Apabila pemimpin negara memilih untuk berkompromi dalam isu-isu keagamaan, ia boleh merosakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang adil dan berwibawa.

Tindakan menarik balik rayuan ini menimbulkan keraguan terhadap sikap Anwar dalam memperjuangkan kepentingan umat Islam.

Sikap Anwar yang dilihat lebih cenderung berpolitik dalam isu ini juga memberi isyarat yang salah terhadap nilai Madani yang menjadi teras pentadbiran beliau.

Tindakan pentadbiran Anwar menarik balik rayuan tersebut menunjukkan ia seolah-olah mengingkari titah Sultan Johor dan Sultan Selangor pada 2021 untuk merayu kes Jill Ireland di Mahkamah Rayuan.

Apakah Anwar lupa yang Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 2008 memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam?

Apakah undi dan kuasa lebih dipentingkan oleh pentadbiran Anwar berbanding dengan nilai dan kesucian Islam itu sendiri?

Saya menyokong kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin supaya rayuan diteruskan dan melalui proses undang-undang yang betul.

Saya berharap kepimpinan Anwar dapat menarik balik keputusan untuk tidak meneruskan rayuan tersebut demi menegakkan syiar Islam dan menjunjung agama rasmi negara. – 20 Mei, 2023.

* Abd Rahim Abd Ghani, pesara kerajaan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen