SIDANG Kemuncak China-Asia Tengah akan berlangsung di Kazakhstan pada 2025, lapor Sputnik memetik kenyataan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat.
“Kami akan menggunakan sidang kemuncak ini untuk secara rasminya mewujudkan mekanisme mesyuarat pemimpin negara China dan Asia Tengah yang akan dihoskan setiap dua tahun oleh China dan negara di rantau ini,” menurut Xi dalam kenyataan yang disiarkan oleh Televisyen Pusat China.
Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev pula menyokong penubuhan sekretariat Asia Tengah-China, dan akan memulakan tugasnya di China.
“Kami juga berharap untuk menganjurkan sidang kemuncak Asia Tengah-China kedua di Kazakhstan,” Tokayev dipetik oleh pejabat akhbarnya.
Tokayev turut menggesa hubungan dan kerjasama pelbagai hala antara negara anggota sidang kemuncak itu diperkukuh.
Xi mempengerusikan Sidang Kemuncak China-Asia Tengah di Xi’an, Wilayah Shaanxi, dari 18 hingga19 Mei.
Tokayev bersama Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov, Presiden Tajik Emomali Rahmon, Presiden Turkmen Serdar Berdimuhamedov dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev dijemput untuk menghadiri sidang kemuncak peringkat tertinggi enam penjuru yang pertama sejak penubuhan hubungan diplomatik antara Beijing dan China dan lima negara Asia Tengah pada 1991. – Bernama, 20 Mei, 2023.
Komen