Pasaran buruh berkembang 2.5% pada suku pertama 2023 


Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata permintaan buruh di Malaysia bertambah baik pada suku pertama 2023 yang ditunjukkan oleh pertumbuhan 22.7%.– Gambarfail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2023.

PASARAN buruh berkembang 2.5% pada suku pertama 2023 dengan merekodkan 16.65 juta orang berbanding 16.25 juta orang pada tempoh sama tahun lepas, menurut Sorotan Pasaran Buruh suku pertama 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.8 mata peratus tahun ke tahun kepada 69.8% daripada 69% pada tempoh sama tahun lepas.

“Permintaan domestik yang kukuh telah mewujudkan persekitaran menggalakkan bagi industri menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran dan permintaan buruh lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata bilangan penganggur menurun 12.6% pada suku pertama 2023 kepada 586,900 berbanding 671,200 pada tempoh yang sama tahun lepas, yang merupakan kadar pengangguran terendah sejak tercetus Covid-19 dan menyamai kadar yang direkodkan pada suku pertama 2020 iaitu 3.5%.

“Penurunan kadar pengangguran yang berterusan dan peningkatan peluang pekerjaan menunjukkan momentum positif dalam pasaran buruh dan mewujudkan asas yang kukuh untuk mengekalkan perbelanjaan pengguna dan perkembangan ekonomi,” katanya.

Bagi permintaan buruh pada suku pertama 2023, Mohd Uzir berkata jawatan dalam sektor swasta meningkat 2.7% kepada 8.81 juta jawatan berbanding 8.57 juta jawatan pada suku pertama 2022. 

Beliau berkata permintaan buruh di Malaysia bertambah baik pada suku pertama 2023 yang ditunjukkan oleh pertumbuhan 22.7% dalam bilangan pewujudan jawatan merangkumi 31,700 jawatan.

Melangkah ke suku kedua 2023, Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia dijangka kekal kukuh disokong oleh pembangunan ekonomi yang berterusan, inisiatif kerajaan dan daya tahan industri utama. 

“Dengan membina persekitaran kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan melabur dalam kemahiran tenaga kerja, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang-peluang baharu yang muncul dan mengekalkan prospek pasaran buruh yang positif,” katanya. – Bernama, 19 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen