KETUA Menteri Sabah Hajiji Noor memberi jaminan kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah, termasuk menyediakan pelan kecemasan bagi menangani isu berkaitan pembekalan air dan tenaga elektrik, yang memberi kesan kepada kemaslahatan Sabah.
Beliau berkata isu berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik adalah isu yang diwarisi sebelum ini, dan kerajaan negeri semasa, sedang mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya.
“Pagi ini saya menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya mengenai langkah-langkah segera dan masa depan bagi menangani masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik yang menyusahkan ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai isu pembekalan air, katanya beliau telah engarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong untuk mengambil tindakan drastik bagi membetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.
“Kita sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini, kerana kita juga serius dalam usaha menarik kehadiran pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini amat penting kepada pelabur.
“Kita menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini, seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco serta Esteel, dan kita ingin lihat lebih banyak lagi, kita benar-benar serius,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelan tindakan bagi memperbetulkan isu berkenaan, dan jaminan serta komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu Sabah, beliau yakin penyelesaiannya pasti tiba. – Bernama, 19 Mei, 2023.
Komen