Kes fitnah, MB Kedah minta maaf pada Mahfuz


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kepada Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berhubung satu posting di Facebook yang berunsur fitnah pada 2019. – Gambar Facebook, 19 Mei, 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kepada Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berhubung satu posting di Facebook yang berunsur fitnah pada 2019.

Permohonan maaf itu susulan Mahkamah Rayuan bulan lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 untuk membenarkan tuntutan saman fitnah dikemukakan Mahfuz dan memerintahkan Sanusi membayar RM120,000 ganti rugi kepada plaintif.

“Pada Julai 2019, saya memuat naik di Facebook berkenaan penempatan semula premis perjudian Sport Toto dari Alor Star ke Pokok Sena.

“Saya berkata sensitiviti Amanah dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan pada masa itu, berkurangan susulan pemindahan premis Sport Toto ke kawasan majoriti Muslim di Kedah, tanpa bantahan hingga isu itu dibangkitkan rakyat dan saya, empat bulan selepas kelulusan oleh Kementerian Kewangan.

“Berikutan saman difailkan Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan posting di FB itu, Mahkamah Tinggi pada 8 November, 2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3 April, 2023, memutuskan posting saya itu adalah kenyataan fitnah terhadap Mahfuz, maka saya diarahkan membuat permohonan maaf.

“Saya oleh itu memohon maaf kepada Mahfuz Omar berhubung kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Sanusi berkata beliau menyerahkan wang tunai RM120,000 kepada peguamnya untuk menguruskan pembayaran kepada Mahfuz.

Panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, Mariana Yahya dan Wong Kian Kheong membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Hakim turut menolak rayuan Sanusi untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz. – 19 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen