Polis tahan presiden Anak, Mazlan Aliman


Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang lantang bercakap tentang hak peneroka Felda dan mengkritik kerajaan, ditahan polis jam 1.35 pagi tadi di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

AKTIVIS Felda yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman ditahan polis jam 1.35 pagi tadi dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kulai.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Amanah itu menulis di Facebook bahawa beliau ditahan di rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulaijaya.

Beliau ditahan anggota polis dari IPK Johor yang diketuai ASP Mohd Hasrudi Mohd.

“Mulanya saya persoal, tak bolehkah tunggu siang. Dia (polis) kata arahan,” katanya.

Mazlan, 52, ditahan berhubung kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi.

Beliau hanya diberitahu penahanan itu ada kaitan dengan ceramahnya berkenaan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

Pada 19 Mac lalu, isteri perdana menteri membuat laporan polis terhadap Mazlan berkaitan dengan dakwaan Mazlan kononnya Rosmah terlibat dengan satu projek Felda yang gagal.

Projek penternakan ikan Sturgeon bernilai berjuta ringgit oleh Felda kini masih dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam NoorHajran Mohd Noor yang membuat laporan bagi pihak Rosmah menyifatkan dakwaan Mazlan itu sebagai fitnah jahat.

“Tuduhan sebegini menyebabkan terjadinya buruk sangka dalam kalangan netizen, lantas menjejaskan reputasi dan integriti anak guam saya,” katanya dalam satu kenyataan merujuk satu video YouTube menunjukkan Mazlan berucap dalam satu ceramah.

Laporan ketua audit negara pada 2015 menyatakan Felda tidak mendapat sebarang manfaat atau pulangan daripada projek penternakan ikan sturgeon, selepas melaburkan berjuta ringgit dalam projek itu.

SPRM menahan lima pegawai kanan Felda kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta sejak 2014.

Pagi ini, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan bersama Setiausaha Organisasi Amanah Suhaizan Kaiat serta 10 lagi penyokong Amanah telah ke Balai Polis Kulai untuk bertemu Mazlan.

“Saya diberitahu, Mazlan akan dibawa ke Bukit Aman pagi ini untuk disiasat. Dalam perjalanan ke sana, mereka akan singgah di rumah Mazlan di Felda Bukit Ramon, Kulai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan,” kata Suhaizan kepada The Malaysian Insight yang dalam perjalanan ke IPD Kulai.

Tindakan polis menahan Mazlan pada waktu awal pagi mendapat bantahan penyokong Mazlan.

“Kenapa tahan awal pagi. Ini penderaan psikologi ni. Baru tiga hari laporan polis dibuat oleh Rosmah, terus hari ini tangkap.

“Kenapa mudah sangat tangkap Mazlan tetapi tidak tangkap Jho Low yang sudah lama dibuat laporan polis,” kata Suhaizan merujuk kepada ahli perniagaan yang dikatakan dalang dalam skandal terbesar dunia, 1MDB.

Sebelum ditahan, Mazlan bersama bakal calon Amanah Pasir Raja mengunjungi Pusat Khidmat Komuniti Rela Felda Bukit Ramon yang berakhir jam 12 tengah malam. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen