BRITAIN melancarkan sekatan baharu terhadap sektor galian Rusia pada Jumaat, menyasarkan import aluminium, berlian, tembaga dan nikel dalam usaha menyekat keupayaan Moscow membiayai perang di Ukraine.
Menjelang sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun, London berkata ia akan memperkenalkan “larangan terhadap berlian Rusia” dan menyasarkan lebih banyak entiti yang terlibat dalam “kompleks industri tentera (Vladimir) Putin.”
Perdagangan berlian Rusia dianggarkan bernilai AS$4-5 bilion setahun, memberi hasil cukai yang amat diperlukan oleh Kremlin.
Sidang kemuncak di Hiroshima dijangka menyaksikan siri sekatan baharu ke atas Rusia, termasuk langkah Amerika Syarikat (AS) yang akan meletakkan 70 lagi warga Rusia dan entiti asing dalam senarai hitam perdagangan.
“Akan ada lebih 300 sekatan baharu terhadap individu, entiti, kapal dan pesawat,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS.
G7 secara keseluruhannya dijangka cuba mengetatkan sekatan sedia ada, menutup kelemahan, menyukarkan akses Moscow kepada sistem kewangan antarabangsa dan komited dalam memastikan aset Rusia dibekukan sehingga tamat perang di Ukraine.
Pada Khamis, seorang pegawai Kesatuan Eropah berkata satu sasaran berpotensi untuk perbincangan ialah industri berlian Rusia yang bernilai berbilion dolar.
“Kami percaya perlu mengehadkan eksport daripada perdagangan Rusia dalam sektor ini,” kata pegawai itu.
Belgium ahli EU adalah antara pembeli borong terbesar berlian Rusia, di samping India dan Emiriah Arab Bersatu.
AS ialah pasaran akhir utama untuk produk siap.
“Seperti yang ditunjukkan oleh pengumuman sekatan hari ini, G7 kekal bersatu dalam menghadapi ancaman dari Rusia dan teguh dalam sokongan kami untuk Ukraine,” kata Perdana Menteri Rishi Sunak. – AFP, 19 Mei, 2023.
Komen