Mark Zuckerberg janji pertingkatkan keselamatan Facebook


CEO Facebook Mark Zuckerberg berjanji untuk membaiki masalah yang mencetuskan skandal penggodaman data peribadi pengguna kepada pihak ketiga. – Gambar AFP, 22 Mac, 2018.

CEO Facebook Mark Zuckerberg semalam berjanji untuk membaiki masalah yang melanda gergasi media sosial itu, ketika ia melawan skandal penggodaman data peribadi daripada jutaan penggunanya.

“Kami bertanggungjawab untuk melindungi data anda, dan jika kami tidak mampu maka kami tidak layak berkhidmat kepada anda,” kata Zuckerberg dalam kenyataan umum pertamanya berkenaan penggunaan data peribadi pengguna Facebook oleh syarikat British yang dikaitkan dengan kempen pemilihan Presiden Donald Trump pada 2016.

Menulis di akaun Facebook miliknya, Zuckerberg mengumumkan langkah baharu untuk mengekang kebocoran data kepada pemaju luar dan aplikasi pihak ketiga, sementara memberikan pengguna lebih kawalan terhadap maklumat mereka menerusi bar alat khas.

Zuckerberg berkata langkah itu sudah ada sejak 2014 untuk mencegah secara khusus penyalahgunaan data itu.

“Tetapi kami juga melakukan kesilapan, ada banyak lagi perlu dilakukan dan kami akan mempercepatkannya dan melaksanakannya,” katanya.

Skandal itu meletup apabila seorang pemberitahu maklumat mendedahkan syarikat perunding data British Cambridge Analytica (CA) mencipta profil psikologi terhadap 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti, ciptaan penyelidik bernama Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu dimuat turun oleh 270,000 orang tetapi turut mengaut data rakan-rakan mereka tanpa kebenaran – kerana ia dibolehkan mengikut peraturan Facebook pada masa itu.

Facebook berkata pada minggu lalu, ia mengetahui bahawa CA mungkin tidak memadam data itu.

“Ini melanggar kepercayaan antara Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook,” kata Zuckerberg.

“Tetapi ia juga melanggar kepercayaan antara Facebook dan orang yang berkongsi data mereka dengan kami dan mengharapkan kami melindunginya.

“Kami perlu betulkan keadaan itu.” – AFP, 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen