Suspek pengeboman Texas maut letupkan diri


Ketua Polis Austin Brian Manley bercakap kepada media susulan kematian suspek pengeboman di bandar itu yang diburu polis sejak tiga minggu lalu. – Gambar AFP, 22 Mac, 2018.

SEORANG lelaki yang disyaki melakukan beberapa insiden pengeboman di Austin, Texas meletupkan dirinya semalam ketika hampir ditahan polis.

Polis berkata mereka mengepung Mark Conditt, 23, seorang lelaki kulit putih di luar sebuah hotel di pinggir ibu kota itu, di mana beberapa kejadian pengeboman yang bermula pada 2 Mac lalu menyebabkan dua terbunuh dan ramai lagi tercedera.

Suspek meletakkan alat letupan di keretanya dan kemudian maut, kata Ketua Polis Austin Brian Manley, mengakhiri pemburuan besar-besaran terhadap suspek yang membabitkan ratusan ejen persekutuan dan polis tempatan.

“Ia tiga minggu yang terlalu panjang untuk masyarakat Austin,” kata Manley.

Manley berkata polis memburu Conditt sejak 24 hingga 36 jam lalu selepas mendapat bukti daripada rakaman video dan kenyataan saksi.

 Waran tangkap dikeluarkan pada malam Selasa, mendakwa Conditt dengan kesalahan memiliki dan memindahkan bahan pemusnah, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Fail siasatan terus dibuka susulan penyiasat terus menyiasat kemungkinan suspek ada rakan subahat dan motif.

Pihak berkuasa pada awal pagi semalam memberi amaran Conditt mungkin meletakkan bahan letupan lain sebelum kematiannya, tetapi sehingga lewat petang, mereka yakin tidak ada lagi bahan letupan. – AFP, 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen