AHLI politik tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap isu penggunaan kalimah Allah untuk kepentingan politik bagi menimbulkan keresahan dalam masyarakat, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menggesa semua ahli politik supaya lebih bertanggungjawab apabila menangani isu sebegini dan berpegang kepada fakta.
“Saya tidak mahu komen. Tugas saya adalah untuk memberikan fakta mengenai kes ini. Saya menggesa semua ahli politik supaya lebih bertanggungjawab dalam isu ini kerana ia adalah isu emotif… mereka semua tahu ini.
“Tetapi walaupun mereka mahu mengaut keuntungan politik, jangan sembunyikan fakta. Mahkamah tidak pernah membangkitkan soal agama,” katanya di Putrajaya hari ini.
Saifuddin juga tidak mahu mengulas sama ada perkara ini akan dimainkan pada pilihan raya negeri akan datang.
Tambahnya, ia adalah keputusan mahkamah membabitkan seorang wanita Kristian Melanau dan bukannya aspek agama.
“Ia hanyalah satu aspek ketidaksesuaian berhubung percanggahan keputusan Kabinet dengan arahan pentadbiran, itu sahaja,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kabinet akan membentangkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi penggunaan kalimah Allah dan memperkukuh perpaduan kaum dan agama di negara ini.
Beliau berkata demikian berikutan kesan daripada keputusan kerajaan persekutuan untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah dalam kes kalimah Allah.– 18 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen