PRU14 bakal jadi pilihan raya WhatsApp


Liow Sze Xian

Penganalisis berkata aplikasi mesej WhatsApp akan menjadi antara platform utama kempen untuk parti politik menjelang PRU14, susulan aplikasi itu lebih mudah digunakan dengan data lebih kecil bagi penduduk luar bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Mac, 2018.

APLIKASI mesej WhatsApp akan menjadi salah satu platform utama kempen untuk parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

WhatsApp mempunyai 68% liputan di Malaysia setakat suku ketiga 2017.

Pensyarah kanan komunikasi Universiti Sunway Dr Pauline Leong berkata pada PRU 2008, kempennya menggunakan blog di mana ramai penulis belog mencipta nama, sementara PRU 2013 menjadi pilihan raya media sosial di mana parti politik membuat klip video dan muzik video pendek yang menjadi viral di Facebook dan Twitter.

2018 akan menjadi pilihan raya WhatsApp,” kata Dr Leong kepada The Malaysian Insight ketika ditemui selepas forum awam mengenai golongan muda, politik dan media sosial dalam pilihan raya awal minggu ini.

Setiausaha Eksekutif Pemuda Barisan Nasional (BN) Zaidel Baharuddin berkata WhatsApp ialah platform terbaik berbanding Facebook untuk mendekati pengundi luar bandar, di mana kelajuan data mudah alih lebih perlahan berbanding kawasan bandar.

“Jumlah data lebih kecil kerana terhad 100MB, jadi masa untuk dimuat turun lebih singkat berbanding Facebook,” kata Zaidel.

Beliau berkata masyarakat di kawasan terpencil di Sarawak juga memiliki telefon bimbit dan bila-bila mereka mempunyai akses kepada Internet, biasanya mesej online yang pertama diterima ialah daripada WhatsApp.

Pegawai khas kepada timbalan menteri dalam negeri itu berkata tidak ada ahli politik yang dapat mengabaikan aplikasi media sosial pada zaman ini.

“Lembah Pantai (kerusi Parlimen di Kuala Lumpur) mempunyai kira-kira 60,000 pengundi, hanya 20% lahir dan membesar di sini. Tidak cukup untuk menyediakan perkhidmatan sosial untuk mereka.

“Anda perlu mencapai pengundi lain menerusi media sosial,” kata Zaidel.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad membuka beberapa akaun media sosial selepas kembali aktif dalam politik, dengan terbaru ialah Instagram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2018.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata penggunaan WhatsApp lebih cepat dalam menyebarkan mesej tetapi hanya isi kandungan yang bagus akan menjadi tular.

“Ramai orang suka bertanya: bagaimana hendak tularkan post? Ini pendekatan yang salah. Anda hanya boleh tularkan ia jika kandungannya senada dengan masyarakat,” kata Fahmi.

Beliau berkata kebanyakan orang tidak membincangkan pandangan politik mereka di WhatsApp, tetapi berbuat demikian di Facebook dan Twitter.

“Mereka hanya mahu tahu berita terkini (menerusi WhatsApp): sama ada harga minyak naik, atau tentang rampasan Equanimity di Indonesia,” katanya.

Platform lain masih relevan

Presiden Persatuan Digital Malaysia Sam Teck Choon berkata platform media sosial yang lain masih relevan dalam PRU14 kerana kebanyakan pengguna Internet mempunyai akses kepada Facebook, WhatsApp, Instagram dan aplikasi lain pada masa yang berbeza setiap hari.

Memetik Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh, beliau berkata bekas perdana menteri itu membuka beberapa akaun media sosial selepas kembali aktif dalam politik, dengan terbaru ialah Instagram.

“Ini menunjukkan platform media sosial lain juga penting,” kata Sam.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak bersetuju bahawa WhatsApp akan menjadi alat penting dalam PRU akan datang.

“Mustahil perang media sosial ketika pilihan raya akan memberi tumpuan kepada satu platform saja,” katanya.

Syed Saddiq dikritik kerana memuat naik gambar tentang haiwan peliharaannya dan ahli keluarganya di Instagram ketika menyertai politik pada 2016.

“Mereka kata ia tidak ada kena mengena dengan politik. Tetapi saya mahu menunjukkan kepada ahli politik bahawa saya ada kehidupan peribadi juga, dan selepas beberapa lama, masyarakat umum sudah biasa dengan keadaan itu,” katanya. – 22 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen