Pembinaan empangan Trusan masih di peringkat perancangan


Desmond Davidson

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Liwan Lagang berkata Sarawak Energy Bhd, sedang mengkaji kemungkinan cadangan empangan 275 megawatt yang akan dibina di Sungai Trusan.– Gambar TVS, 18 Mei, 2023.

PEMBINAAN empangan hidroelektrik yang diluluskan kerajaan Sarawak enam tahun lalu “masih di peringkat awal pembangunan”, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Liwan Lagang hari ini.

Beliau memberitahu dewan undangan negeri syarikat tenaga negeri, Sarawak Energy Bhd, sedang mengkaji kemungkinan cadangan empangan 275 megawatt yang akan dibina di Sungai Trusan di daerah paling utara di negeri ini, di daerah Lawas.

Ketika memaklumkan DUN mengenai status terkini empangan yang dicadangkan itu, Liwan berkata pertemuan dengan pemimpin yang mewakili masyarakat yang tinggal di sepanjang Sungai Trusan bagaimanapun telah dijalankan pada 2013 di bandar Lawas.

Bagi penilaian impak sosial dan alam sekitar (SEIA), Liwan berkata ia hanya akan dijalankan sekiranya projek itu didapati boleh dilaksanakan.

Menjawab soalan Adun Ba Kelalan Baru Bian, beliau juga berkata kos untuk empangan itu masih belum ditentukan kerana ia hanya boleh dilakukan selepas kajian kebolehlaksanaan.

Empangan Trusan adalah satu daripada 12 empangan hidroelektrik yang dicadangkan untuk dibina bagi memenuhi unjuran keperluan tenaga dan permintaan negara jirannya.

Empangan ini agak kecil berbanding empangan mega lain di negeri ini — Bakun (2,400 Mw), Murum (944 Mw ) dan Baleh (1,285 Mw).

Kuasa yang dijana daripada empangan Trusan dilaporkan akan dijual kepada negara jiran Brunei - untuk digunakan di daerah Temburong - dan Sabah.– 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen