Parti Move Forward Thailand berusaha bentuk kerajaan, gabungan 8 parti


Pemimpin Parti Move Forward berhasrat untuk membentuk kerajaan campuran dengan kerjasama tujuh parti lain selepas kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen Thailand. – Gambar AFP, 18 Mei, 2023.

PEMIMPIN Parti Move Forward menyatakan hasrat untuk membentuk kerajaan campuran dengan kerjasama tujuh parti lain selepas kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen Thailand.

Gabungan lapan parti itu akan mewakili 313 kerusi dalam Dewan Perwakilan, sekali gus menjadikan pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat calon utama perdana menteri Thailand seterusnya, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan Thai PBS World.

Bagaimanapun, perdana menteri Thailand bukan sahaja ditentukan oleh 500 ahli Parlimen tetapi juga 250 senator.

Parti pembangkang dilihat berdepan laluan sukar untuk membentuk kerajaan baharu, berikutan perlembagaan tentera selepas rampasan kuasa 2014.

Di bawah perlembagaan, 250 senator yang dilantik junta mempunyai suara dalam pemilihan perdana menteri dan membentuk kerajaan.

Tidak diketahui sama ada mana-mana senator akan menyokong pembangkang.

Undian dijangka pada akhir Julai atau awal Ogos.

Satu memorandum persefahaman akan ditandatangani oleh semua parti gabungan pada Isnin, jelas Pita kepada wartawan.

Tarikh itu memberi makna signifikan kerana ia menandakan sembilan tahun sejak tentera merampas kuasa pada 22 Mei, 2104. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen