35% kerusi Parlimen untuk Sabah, Sarawak kini di peringkat keputusan dasar


Desmond Davidson

Tuntutan Sabah dan Sarawak untuk mendapat 35% kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kini berada pada peringkat keputusan dasar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2023.

DEWAN Undangan Negeri Sarawak hari ini dimaklumkan tuntutan Sabah dan Sarawak untuk mendapat 35% kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kini berada pada peringkat keputusan dasar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memberitahu dewan, jawatankuasa kerja yang ditubuhkan pada 20 Januari pada mesyuarat pertama Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963, dan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman, bertujuan mendapatkan keputusan dasar.

Hasidah berkata keputusan dasar diperlukan memandnagkan perkara itu membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Setakat ini, belum ada keputusan dibuat.

Beliau berkata Sarawak akan terus menuntut perkara itu bagi memastikan wakil di Parlimen selaras dengan semangat dan tujuan asal pembentuan Malaysia dan MA63.

Menjawab soalan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang (GPS–SUPP), Hasidah berkata perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusoff yang memantau semua perkara berkaitan pelaksanaan MA63 untuk negeri itu.

Tuntutan Sarawak untuk menambah wakil di Parlimen kali pertama dibuat kepada kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Perkara ini pada masa itu dibentangkan kepada jawatankuasa khas MA63 pada mesyuarat 8 September, 2022,” katanya.

Beliau memberitahu dewan, mesyuarat itu memutuskan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan membawa cadangan kepada Kabinet di peringkat persekutuan.

Katanya, sebelum Wan Junaidi dapat berbuat demikian, Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, 2022 bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Hasidah berkata penambahan kerusi di parlimen boleh dilakukan dengan cara pindaan kepada Artikel 46 Perlembagaan Persekutuan atau menerusi semakan persempadanan semula mengikut Artikel 113 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mengikut Artikel 113, Suruhanjaya Pilihan Raya dari masa ke masa perlu menyemak pembahagian kawasan pilihan raya negeri dan persekutuan.

Selang semakan itu, katanya tidak boleh kurang daripada lapan tahun antara tarikh setiap semakan dilengkapkan.

Kali terakhir persempadanan semula dilaksanakan di Sarawak adalah pada 2015 dan semakan semula sepatutnya diadakan tahun ini. – 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen