SEORANG pensyarah wanita di Kuantan mendakwa kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 52 tahun mendakwa dihubungi suspek kononnya dari syarikat insurans pada 22 Januari lalu, bagi siasatan tuntutan palsu dan penggubahan wang haram membabitkan mangsa.
“Suspek dikatakan mengarahkan wanita itu membuka dua akaun bank baharu sebagai akaun siasatan sementara dengan butiran perbankan termasuk gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta kata laluan diserahkan kepada suspek.
“Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan ke dua akaun itu yang diturutinya dengan mengeluarkan simpanan bank, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa mula mengesyaki ditipu apabila gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan sebelum mendapati wang simpanannya di dua bank itu dikeluarkan tanpa pengetahuan.
Sehubungan itu, menurutnya wanita berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.
Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.
Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa. – Bernama, 18 Mei, 2023.
Komen