Pesara rugi lebih RM132,000 ditipu pelaburan matawang kripto


SEORANG pesara syarikat swasta di Melaka kerugian RM132,407 selepas ditipu pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh enam jam selepas menyertai skim itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu berkata mangsa berusia 57 tahun itu melihat iklan tawaran skim pelaburan berkenaan ketika sedang melayari Facebook di rumahnya di Alor Gajah pada 2 Mei lalu.

“Mangsa kemudiannya membuat bayaran sebagai modal permulaan sebanyak RM1,000 sebelum menambah pelaburan secara berperingkat sebanyak RM132,407 antara 3 hingga 11 Mei lalu.

“Mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis pada 16 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran skim pelaburan secara dalam talian dan melaporkan kepada Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang sudah diserahkan kepada sindiket penipuan. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen