Kerjasama Miti, KPT, Mosti perkasa industri aeroangkasa, kata menteri


Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata negara berdepan masalah kekurangan tenaga pakar untuk berkhidmat dalam sektor tertentu termasuk aeroangkasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2023.

SATU usaha kerjasama yang lebih proaktif antara kementerian akan diwujudkan dalam usaha memperkasakan industri aeroangkasa dari aspek pekerja berkemahiran tinggi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata unsur paling penting dalam industri adalah modal insan.

Bagaimanapun, negara berdepan masalah kekurangan tenaga pakar untuk berkhidmat dalam sektor tertentu termasuk aeroangkasa.

“Sehubungan itu, Miti akan bersama-sama dengan beberapa kementerian lain, antaranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memastikan ‘supply of talent’ (bekalan tenaga kerja berkemahiran) ini sentiasa ada. Ia juga sebagai satu kelebihan kompetitif kepada pelabur untuk melabur dari segi infrastruktur dan tenaga kerja berkemahiran.

“Dalam aspek lain, kerjasama ini juga akan dapat memastikan bakat yang dilahirkan di institusi pengajian tinggi relevan dan tepat dengan keperluan industri masa kini malah dapat menjadi salah satu platform untuk meningkatkan pendapatan pekerja dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan dan merasmikan bangunan baharu kilang syarikat CTRM Aero Composites Sdn Bhd (CTRM) di Batu Berendam, Melaka hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi aspek R&D pula, pihaknya berjumpa dengan wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan berbincang mengenai bagaimana hasil R&D tempatan mampu membawa limpahan positif kepada industri dan negara.

“Ini penting kerana menerusi R&D yang tepat, ia akan menghasilkan apa yang diperlukan industri dan dalam masa yang sama, kita mahu pakar tempatan dalam R&D ini mampu dikomersialkan di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat CTRM dianugerahkan kontrak baharu bagi pembuatan dan pengeluaran komponen aero kepada beberapa vendor tahap 1 yang membekal kepada syarikat pengeluar pesawat bertaraf global iaitu Airbus.

Katanya nilai kontrak baharu itu bernilai RM3.4 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2030 dengan nilai kontrak secara kumulatif adalah RM6.64 bilion sehingga tahun 2030.

“Dari segi modal insan, CTRM akan menambah pekerja berkemahiran teknikal sebanyak 24% atau 300 orang bagi tempoh 2023 hingga 2024 selain meningkatkan perolehan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan domestik sebanyak 25%.

“Ini jelas membuktikan syarikat multinasional terkemuka menganggap landskap industri aeroangkasa Malaysia sebagai stabil dan kondusif bagi rantaian bekalan global mereka,” katanya. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen