Lebih 840,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam konflik Sudan


KIRA-KIRA 843,130 penduduk Sudan hilang tempat tinggal sejak bermulanya konflik, kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Rabu.

IOM dalam satu kenyataan memberi amaran 1.8 juta lagi penduduk dijangka hilang tempat tinggal jika perang berlarutan, lapor agensi berita Anadolu.

Ia menyatakan terdapat 1.1 juta pelarian dan 3.8 juta penduduk hilang tempat tinggal di negara itu sebelum konflik.

Walaupun hampir 259,000 orang melarikan diri dari Sudan ke negara berhampiran, IOM berkata lebih sejuta pelarian dan migran yang terjejas oleh konflik mungkin berpindah ke negara jiran jika konflik berterusan.

Menurut pertubuhan itu, bantuan kemanusiaan dipercayai diperlukan oleh lebih 25.7 juta orang dari dalam dan luar Sudan.

IOM juga mewujudkan pelan tindak balas dan membuat rayuan untuk AS$209 juta bagi menyediakan bantuan kemanusiaan kritikal kepada mereka yang terjejas oleh krisis.

Rayuan itu termasuk keperluan mendesak sebanyak AS$105 juta untuk Sudan dan AS$104 juta lagi untuk respons di Mesir, Libya, Chad, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan dan Habsyah, katanya.

“Situasi kemanusiaan semasa di Sudan paling teruk yang pernah dialami negara itu.

“Berjuta-juta penduduk amat memerlukan bantuan asas seperti air, makanan dan tempat tinggal. Jika kita tidak bertindak sekarang, rakyat Sudan akan menghadapi malapetaka kemanusiaan yang tidak dapat dielakkan,” kata ketua pengarah IOM Antonio Vitorino dalam kenyataan. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen