Lelaki rugi hampir RM60,000 akibat pelaburan Bitfine


GARA-GARA tertarik dengan pulangan lumayan ditawarkan menerusi pelaburan (Bitfine) di aplikasi Telegram, seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM58,800.

Ketua Polis Daerah Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata mangsa berusia 37 tahun itu berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 17 Mac lalu, namun tidak melayan individu terbabit.

“Bagaimanapun pada 27 April lalu, mangsa mula berkomunikasi dengan individu itu dan menunjukkan minat dan yakin dengan pelaburan Bitfine yang ditawarkan suspek selepas menerima pulangan sebanyak RM543,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April hingga 8 Mei, dengan membuat sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM58,800.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Ahad selepas menyedari beliau ditipu.

Ahmad Sukarno berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan orang ramai dinasihati supaya berwaspada dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

Beliau turut meminta jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan diminta menghubungi National Scam Response Centre di talian 997.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terbabit dalam sebarang kes penipuan,” katanya. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen