SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah mengambil tindakan terhadap iklan di media sosial yang digunakan untuk menjual tiket konsert Coldplay pada harga yang terlalu tinggi.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa penonton konsert membeli tiket melalui saluran yang betul bagi mengelak daripada ditipu.
Semalam, Fahmi berkata beliau akan membincangkan isu scalper menjual semula tiket dengan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub.
Beliau juga berkongsi tangkapan skrin laporan berita yang menyatakan tiket dijual semula sehingga RM43,000, dengan mengatakan ia “amat melampau”.
Peminat konsert kumpulan rock Britain di Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur kecewa apabila tidak dapat membeli tiket ketika jualan bermula semalam.
Harga tiket bagi konsert julung kali Coldplay di Malaysia adalah antara RM228 hingga RM3,088.
Dilaporkan platform tiket Viagogo menjual tiket Kategori 7 pada harga RM1,749, hampir lapan kali ganda harga asal RM228.
Di platform e-dagang Carousell, tiket Kategori 4 dan 5, pada asalnya berharga RM598 dan RM498, masing-masing dijual pada harga RM2,499 dan RM3,000.
Tiket zon berdiri Kategori 3 paling popular, yang pada asalnya berharga RM658, kini dijual pada harga kira-kira RM1,400.
Minggu lalu, bekas ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menggesa konsert itu dibatalkan dengan berkata ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada bangsa, agama dan negara.
“Adakah Putrajaya mahu menggalakkan hedonisme dan budaya songsang di negara ini (dengan membenarkan Coldplay membuat persembahan di sini)?
“Saya nasihatkan (kerajaan) batalkan konsert itu,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu.
Ia selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyiarkan video di Facebook sebagai reaksi kepada pengumuman Coldplay, mengalu-alukan kumpulan itu ke Malaysia dan berkata, “Jumpa anda pada November!”
Coldplay akan mengadakan satu siri pertunjukan di Asia, pada bulan November, sebagai sebahagian daripada jelajah dunia “Music of the Spheres” mereka yang memecahkan rekod.
Persembahan kumpulan itu di Malaysia akan diadakan pada 22 November di Stadium Nasional. – 18 Mei, 2023.
Komen