MONTANA pada Rabu menjadi negeri Amerika Syarikat (AS) pertama mengharamkan TikTok, yang akan berkuat kuasa tahun depan ketika perdebatan semakin meningkat mengenai kesan dan keselamatan aplikasi video popular itu.
Larangan yang ditandatangani Gabenor Greg Gianforte akan menjadi ujian undang-undang bagi pengharaman negara terhadap platform milik China, sesuatu yang semakin ramai digesa oleh penggubal undang-undang di Washington.
“TikTok mungkin tidak beroperasi dalam bidang kuasa wilayah Montana,” menurut kenyataan disiarkan di laman web negeri.
Larangan itu menjadikannya sebagai satu kesalahan setiap kali “pengguna mengakses TikTok, ditawarkan akses TikTok, atau ditawarkan untuk memuat turun TikTok.”
Setiap pelanggaran boleh dihukum denda AS$10,000 setiap hari ia berlaku.
Di bawah undang-undang, Apple dan Google perlu mengeluarkan TikTok daripada kedai aplikasi mereka dan syarikat akan menghadapi kemungkinan denda harian.
Langkah itu hampir pasti akan dicabar oleh tindakan undang-undang.
Pemimpin politik negeri “mengawal kebebasan bersuara ratusan ribu penduduk Montanan yang menggunakan aplikasi itu untuk ekpresi diri mereka, mengumpulkan maklumat dan menjalankan perniagaan kecil mereka atas nama sentimen anti-China,” kata Pengarah Dasar ACLU Montana, Keegan Medrano.
“Gabenor Gianforte menandatangani rang undang-undang yang melanggar hak Pindaan Pertama penduduk Montana dengan mengharamkan TikTok secara tidak sah,” kata jurucakap syarikat itu kepada AFP.
“Kami mahu meyakinkan penduduk Montana yang mereka boleh terus menggunakan TikTok untuk ekspresi diri, mencari rezeki dan mencari komuniti sambil terus berusaha mempertahankan hak pengguna kami di dalam dan di luar Montana.”
TikTok sebelum ini berkata larangan itu akan diputuskan oleh mahkamah.
Undang-undang itu adalah langkah terbaharu dalam perbalahan antara TikTok dan banyak kerajaan barat, dengan aplilkasi itu diharamkan pada peranti kerajaan di AS, Kanada dan beberapa negara di Eropah.
Aplikasi itu dimiliki oleh firma China ByteDance dan dituduh oleh sebilangan besar ahli politik AS berada di bawah pengawasan kerajaan China dan alat pengintipan oleh Beijing, sesuatu yang dinafikan syarikat itu.
Gianforte sendiri berkata di Twitter beliau menandatangani larangan itu untuk “melindungi data peribadi dan sulit penduduk Montanan daripada Parti Komunis China.”
Walaupun popularitinya yang besar, TikTok berdepan kata dua oleh White House untuk berpisah daripada pemilik China atau berhenti beroperasi di Amerika.
Tindakan Montana terhadap TikTok dibuat ketika aplikasi itu berdepan cadangan perundangan negara, termasuk satu rang undang-undang yang boleh memberi White House kuasa baharu yang besar untuk mengawasi syarikat teknologi China itu. – AFP, 18 Mei, 2023.
Komen