Tikus salai dari Vietnam dirampas


MAQIS Pulau Pinang rampas tikus salai bernilai RM1,000 yang cuba dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam. – Gambar MAQIS Pulau Pinang, 18 Mei, 2023.

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas tikus salai bernilai RM1,000 yang cuba dibawa masuk ke negeri itu tanpa kebenaran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.

Pengarahnya Muhammad Ikram Abd Talib berkata tikus salai seberat 10 kilogram itu dirampas daripada seorang penumpang yang baru tiba dari Vietnam, hasil pemeriksaan dijalankan pihaknya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

“Tikus salai itu berjaya dikesan dalam bagasi penumpang dengan bantuan mesin pengimbas JKDM dan kami merampas semua hasilan haiwan itu kerana tiada permit yang sah untuk mengimport. Kes disiasat menurut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Seperti kita maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung. Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen