KANADA pada Rabu meminta bantuan negara luar untuk mengawal kebakaran hutan yang kini berada di luar kawalan dan merebak ke seluruh kawasan lebih luas di separuh barat negara itu.
Kebakaran yang memusnahkan wilayah Alberta merebak ke negara jiran British Columbia dan Saskatchewan serta Wilayah Barat Laut.
Kira-kira 2,500 anggota bomba dari seluruh Kanada yang disokong oleh 400 anggota tentera dikerahkan di seluruh Alberta untuk mengawal kebakaran hutan, yang memusnahkan lebih setengah juta hektar hutan dan padang rumput serta banyak rumah dan perniagaan.
Tetapi ia masih tidak mencukupi, kata pegawai.
“Ia masih menjadi situasi yang sangat penting dan berbahaya di Alberta,” kata Menteri Keselamatan Awam Persekutuan Bill Blair kepada pemberita di Ottawa.
Blair berkata Pusat Bomba Hutan Antara Agensi Kanada cuba mendapatkan bantuan negara luar seperti Amerika Syarikat, Mexico, Australia dan New Zealand.
Asap dari kebakaran hutan menyelubungi barat Kanada, mencetus amaran kualiti udara buruk yang memberi risiko kepada kesihatan.
Di Calgary, langit berwarna oren kerana asap semakin tebal sepanjang hari.
Ratusan kilometer ke timur, penduduk Regina dan Saskatoon di wilayah jiran Saskatchewan berkata mereka bimbang dengan jerebu tebal dan bau asap yang kuat di udara.
Di seluruh rantau ini, hampir 180 kebakaran hutan sedang marak—termasuk 48 di luar kawalan—memaksa puluhan ribu orang melarikan diri sejak dua minggu lalu.
Arahan dan amaran pemindahan ditarik balik di beberapa bahagian pada Selasa dan Rabu, termasuk Drayton Valley yang terjejas teruk di barat Edmonton di Alberta dan Fort St. John di British Columbia, ketika kebakaran itu dapat diatasi.
Bagaimanapun, indeks kualiti udara di beberapa bandar menunjukkan asap kebakaran yang merebak dari Pantai Pasifik ke wilayah Manitoba masih menimbulkan “risiko yang sangat tinggi” kepada kesihatan.
Beberapa tahun kebelakangan ini, barat Kanada berulang kali dilanda cuaca ekstrem, intensiti dan kekerapannya meningkat akibat pemanasan global.
Ini menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kebakaran hutan yang memusnahkan seluruh bandar, dan rekod suhu musim panas yang tinggi mengorbankan lebih 500 orang pada 2021.
Cuaca musim bunga yang biasanya panas dan kering mengakibatkan apa yang disifatkan oleh pemimpin Alberta Danielle Smith sebagai krisis “belum pernah terjadi sebelum ini”.
Ketika mangsa dipindahkan kembali ke Drayton Valley, ketua bomba tempatan Tom Thomson menggesa semua pihak waspada kerana masih terdapat kawasan yang berbahaya. – AFP, 18 Mei, 2023.
Komen