China minta bantuan Australia cari kapal karam


Kapal China, Lu Peng Yuan Yu 028 terbalik pada awal pagi Selasa dengan 17 warga China, 17 warga Indonesia dan lima warga Filipina di dalamnya. – Gambar Twitter, 18 Mei, 2023.

CHINA menggesa Australia pada Khamis menghantar lebih banyak pesawat, kapal dan kakitangan untuk mencari kapal nelayan yang karam di Lautan Hindi dengan 39 orang di dalamnya.

Kapal China, Lu Peng Yuan Yu 028 terbalik pada awal pagi Selasa dengan 17 warga China, 17 warga Indonesia dan lima warga Filipina di dalamnya.

“Sehingga saat ini, tiada individu ditemui masih hidup,” kata Duta Besar China ke Australia, Xiao Qian kepada pemberita di Canberra.

Australia menghantar tiga kapal terbang dan empat kapal setakat ini untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat, kata duta itu.

China kini sedang mencari bantuan susulan dalam penyelarasan dengan pegawai pertahanan Australia, katanya.

“Kami berharap mereka dapat menghantar lebih banyak pesawat, lebih banyak kapal dan lebih ramai kakitangan ke kawasan itu,” kata Xiao.

Kapal itu karam dalam wilayah mencari dan menyelamat yang luas di Australia, kata diplomat itu, sambil menyatakan ia berada 5,000 kilometer ke barat Perth, ibu negeri Australia Barat.

Beijing mengerahkan dua kapal komersil ke kawasan itu – Lu Peng Yuan Yu 018 dan Yuan Fu Hai – untuk membantu operasi itu, lapor stesen penyiaran CCTV pada Rabu.

Duta China meminta kerajaan Australia menyelaraskan usaha mencari dan menyelamat dengan negara lain yang lebih dekat dengan kapal nelayan yang terbalik itu.

Negara-negara bertanggungjawab untuk memastikan pencarian dan penyelamat di kawasan tertentu di lautan dunia di bawah konvensyen maritim antarabangsa. – AFP, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen