Bekas datuk bandar Mexico dihukum penjara 92 tahun kerana menculik


Bekas datuk bandar Mexico, Jose Luis Abarca turut didenda sebanyak 920,700 peso (kira-kira AS$52,000) bagi penculikan di bandar Iguala di negeri selatan Guerrero. – Gambar AFP, 18 Mei, 2023.

BEKAS datuk bandar Mexico dijatuhi hukuman penjara 92 tahun pada Rabu kerana menculik enam pemimpin masyarakat sivil pada 2013, kata sumber kehakiman.

Jose Luis Abarca, 62, juga didenda 920,700 peso (kira-kira AS$52,000) bagi penculikan di bandar Iguala di negeri selatan Guerrero.

Mangsa termasuk seorang pemimpin pertanian, Arturo Hernandez Cardona, yang kemudiannya ditemui mati.

Abarca juga dituduh terlibat dalam salah satu kekejaman hak asasi manusia paling buruk di Mexico—kehilangan 43 pelajar pada 2014 ketika beliau menjadi datuk bandar Iguala.

Beliau ditangkap tahun itu dan ditahan di penjara di bandar Mexico.

Para pelajar di sebuah maktab perguruan menaiki sebuah bas untuk melakukan demonstrasi di Mexico City sebelum mereka hilang.

Penyiasat berkata mereka ditahan oleh polis korup dan diserahkan kepada kartel dadah. Bagaimanapun, apa yang berlaku kepada mereka menjadi pertikaian.

Satu teori ialah ahli kartel menyasarkan pelajar kerana mereka secara tidak sedar menaiki bas dengan dadah tersembunyi di dalamnya.

Tahun lalu, suruhanjaya kebenaran yang ditugaskan oleh kerajaan untuk menyiasat kes itu menyifatkan ia sebagai “jenayah negara” yang melibatkan ejen pelbagai institusi. – AFP, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen