Bilionair India meninggal dunia di London


Bilionair India yang berpangkalan di UK, Srichand Parmanand Hinduja meninggal dunia pada usia 87 tahun di London pada Rabu. – Gambar Hinduja Group, 18 Mei, 2023.

AHLI perniagaan bertaraf bilionair yang berpangkalan di UK dan pengerusi kumpulan Hinduja, Srichand Parmanand Hinduja meninggal dunia di London pada Rabu. Hinduja, 87, meninggalkan balunya, Madhu dan dua anak perempuan, Shanu dan Vinoo.

“Seluruh keluarga Hinduja, dengan berat hati, sedih untuk mengumumkan pemergian bapa keluarga kami dan pengerusi Kumpulan Hinduja SP Hinduja hari ini,” kata jurucakap keluarga itu.

“Pemergiannya satu kehilangan besar dan keluarga Hinduja amat berdukacita dan terlalu sedih,” katanya.

Hinduja, yang dilahirkan di wilayah Sindh, tidak sihat sejak beberapa lama.

Selepas menamatkan pendidikannya pada tahun 1952, beliau menyertai bapanya dalam perniagaan keluarga. Bersama adik lelakinya Gopichand, Prakash dan Ashok, SP Hinduja dikenali sebagai pemimpin keluarga.

Beliau adalah pemegang saham utama kumpulan itu. Beliau secara konsisten disenaraikan dalam kalangan orang terkaya di UK dan Asia.

Pada 2022, Hinduja mendahului senarai orang terkaya Sunday Times dengan anggaran kekayaan 28.472 bilion pound (kira-kira RM161 bilion). Lebih dikenali sebagai SP, beliau mengetuai pemerolehan Ashok Leyland dari British Leyland dan Gulf Oil daripada Chevron pada 1980-an dan pembentukan bank di Switzerland dan India pada 1990-an.

Beliau muncul ahli perniagaan terkemuka di India bersama nama-nama seperti Tatas, Birlas, Bajaj dan Ambanis. – Agensi, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen