Singapura yakin masa depan sektor penerbangan kekal cerah


Menurut unjuran IATA, Asia-Pasifik akan menjadi rantau yang paling berkembang pesat bagi perjalanan udara dalam tempoh dua dekad akan datang. – Gambar EPA, 18 Mei, 2023.

MASA depan sektor penerbangan kekal cerah apabila dunia bangkit daripada pandemik Covid-19, khususnya di rantau Asia Pasifik, jelas Menteri Pengangkutan Singapura yang juga Menteri Perhubungan Perdagangan Singapura, S.Iswaran.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan (TMM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-11, yang berlangsung di Detroit, Amerika Syarikat dari 15 hingga 17 Mei.

Transkrip ucapan menteri itu dikeluarkan di Singapura, semalam.

Memetik unjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), iaitu persatuan perdagangan syarikat penerbangan dunia, menteri itu berkata Asia-Pasifik akan menjadi rantau yang paling berkembang pesat bagi perjalanan udara dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Trafik penumpang dijangka berkembang pada kadar purata tahunan 4.5%, berbanding purata global 3.3%,” katanya.

Memandangkan keperluan terhadap tindakan iklim segera, Iswaran menyatakan “adalah penting bahawa pertumbuhan perjalanan udara pada tahap intensiti karbon yang jauh lebih rendah”.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan sokongan industri, “terdapat kemajuan yang baik dalam kemampanan penerbangan.”

ICAO ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyelaras prinsip dan teknik navigasi udara antarabangsa dan memupuk perancangan serta pembangunan pengangkutan udara antarabangsa dalam memastikan pertumbuhan yang selamat dan teratur.

Beliau menyatakan perjanjian Perhimpunan ICAO mengenai matlamat aspirasi jangka panjang (LTAG) bagi penerbangan antarabangsa mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, adalah seruan kepada semua pihak berkepentingan untuk berusaha ke arah matlamat itu.

“Langkah kritikal seterusnya ialah menterjemahkan LTAG ini kepada laluan konkrit dan boleh diambil tindakan,” katanya.

Menteri itu menyuarakan keyakinan terdapat tiga cara penting untuk menjayakan matlamat itu termasuk, “melabur dalam pembangunan jenis pesawat baharu yang jimat bahan api untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) Skop 1 syarikat penerbangan.”

Beliau berkata, berbanding A330-300 dan B777-200ER, pesawat A350-900 dan B787-10 yang lebih baharu dianggarkan meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 25%.

“Jadi hanya peralihan ini menjanjikan faedah yang ketara.

“Untuk jangka masa panjang, khususnya teknologi pendorong berasaskan elektrik dan hidrogen menawarkan potensi pengurangan tertinggi, terutamanya untuk penerbangan jarak dekat antara 1,000 hingga 2,000km,” katanya. – Bernama, 18 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen