Bekas ketua Audi mengaku bersalah skandal pelepasan diesel


Bekas CEO Audi, Rupert Stadler ditawarkan hukuman lebih ringan jika membuat pengakuan bersalah dan membayar denda €1.1 juta. – Gambar EPA, 17 Mei, 2023.

BEKAS ketua eksekutif Audi, Rupert Stadler mengaku bersalah ketika perbicaraan mengenai peranannya dalam skandal pelepasan diesel yang dimanipulasi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mahkamah Wilayah Munich menawarkan hukuman lebih ringan jika Stadler membuat pengakuan bersalah dan membayar denda €1.1 juta (AS$1.2 juta).

Dakwaan itu dikaitkan dengan lebih 430,000 kereta VW, Audi dan Porsche yang dipasang dengan “peranti” untuk menipu ujian pengeluaran badan pengatur.

Kereta dengan enjin diesel dimanipulasi oleh sistem automatik sehingga mematuhi had pelepasan ekzos ketika ujian, tetapi tidak di jalan raya.

Stadler tidak dituduh bertanggungjawab memanipulasi kereta, namun mengikut dakwaan, beliau membenarkan penjualan kenderaan terbabit berterusan hingga awal 2018.

Beliau memberi respons “ya” dengan mengakui kesalahan menerusi kenyataan yang dibacakan oleh peguam belanya di hadapan mahkamah pada Selasa. 

Kenyataan itu mengakui Stadler mempunyai peluang untuk campur tangan tetapi gagal berbuat demikian, dan menyesali perbuatannya.

Bekas ketua pembangunan enjin Audi, Wolfgang Hatz dan dua jurutera kanannya mengaku bersalah dalam membantu reka bentuk perisian enjin terbabit. – Bernama, 17 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen