Cuaca panas: Keadaan sistem kesihatan masih terkawal, kata Zaliha


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata status sistem kesihatan negara dalam berdepan cuaca panas ketika ini masih terkawal. – 16 Mei, 2023.

MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini menegaskan sekali lagi status sistem kesihatan negara dalam berdepan cuaca panas ketika ini masih terkawal.

Beliau berkata setakat semalam Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan 15 kes kumulatif berkaitan cuaca panas dan bilangan kematian masih kekal hanya satu kes.

“Sebanyak 15 kes itu membabitkan empat kes strok haba, lima kes kelesuan haba dan enam kes kekejangan haba. Selain daripada satu kematian yang melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan tempoh hari, mereka semua diberi rawatan di hospital dan pulih sepenuhnya.

“Setakat ini saya boleh katakan keadaan masih terkawal dan tidak perlu tindakan drastik namun KKM sentiasa bersedia dari segi rawatan dan semua pengarah hospital serta pengarah kesihatan negeri diminta untuk sentiasa berwaspada,” katanya selepas menghadiri sesi ‘Town Hall’ Kertas Putih Kesihatan (HWP) Zon Timur di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di Kuala Nerus hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa kerajaan belum berhasrat untuk mengisytiharkan darurat ekoran fenomena El-Nino yang dihadapi negara ketika ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata kerajaan sedia mengisytiharkan darurat jika cuaca panas di negara ini mencapai tahap suhu melampau dan kerajaan sedang memantau keadaan serta keperluan itu sepanjang masa.

Sementara itu Dr Zaliha optimis HWP yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan untuk bacaan pertama bakal mendapat sokongan penuh semua ahli Parlimen.

“Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menyatakan sokongan penuh ke atas HWP, insya-Allah semua ahli Parlimen akan sokong HWP ini. Semestinya, semua mahukan sistem kesihatan negara yang terbaik,” katanya.

Program hari ini menghimpunkan peserta dari Terengganu, Kelantan dan Pahang menerusi siri jelajah terakhir HWP, merupakan sebuah dokumen pelan reformasi kesihatan negara yang menggariskan cabaran serta cadangan penyelesaian bagi memastikan sistem kesihatan lebih berkualiti, mampan dan berdaya tahan. – Bernama, 16 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen